comscore
Tumpuan :
Jenayah

Kes bunuh Zayn Rayyan: Blok R jadi tumpuan Unit Forensik malam ini

FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Kenderaan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat memasuki pekarangan Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, hari ini.

Difahamkan kenderaan berkenaan yang turut membawa kira-kira 20 anggota forensik untuk menjalankan siasatan berhubung kes bunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Kenderaan terbabit dilihat memasuki kawasan blok R di apartmen berkenaan jam 7.55 malam ini.

Beberapa pegawai dan anggota polis turut dilihat berada di sekitar lokasi berkenaan dipercayai untuk melakukan siasatan.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar memaklumkan pihaknya mengesan pergerakan hasil analisa beberapa rakaman kamera papan pemuka (dashcam) penduduk yang diterima, baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, penelitian lanjut perlu dijalankan untuk mengesahkan pergerakan itu sama ada objek atau individu berkaitan kes.

Pada 5.10 petang, Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM sekali lagi melakukan pemeriksaan di kawasan blok berkenaan dan difahamkan melakukan pemeriksaan di tingkat tiga dan empat.

Kematian Zayn Rayyan diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

Mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, kira-kira jam 10 malam Rabu lalu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini