comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2024 : RM150 juta peruntukan baiki tandas awam

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyediakan RM150 juta bagi tujuan menyelenggara dan membaiki tandas awam di 150 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara, melalui Belanjawan 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengumumkannya berkata peruntukan itu adalah tekad kerajaan bagi memperhebatkan usaha membaik pulih tandas awam seluruh negara.

Beliau turut memaklumkan projek pembaikan tandas di 8,354 sekolah hampir siap sepenuhnya dan akan diselesaikan tahun ini.

“Tidak boleh diterima akal bahawa selama ini kita membiarkan anak mengharungi alam persekolahan dengan kemudahan asas khususnya tandas yang rosak dan uzur,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.

Kerajaan juga akan terus membela nasib rakyat dan menumpukan keutamaan terhadap perkhidmatan dan projek-projek yang memberi kesejahteraan kepada rakyat  termasuk  menangani masalah asas rakyat yang masih berlarutan.

Beliau mengumumkan peruntukan jurutera daerah dinaikkan kepada RM200,000 dalam usaha menangani aduan kecil dan luar jangka membabitkan jalan persekutuan dengan kadar segera.

”Kerajaan akan meningkatkan peruntukan daripada RM100,000 kepada RM200,000 khusus untuk 115 jurutera daerah dengan peruntukan keseluruhan RM30 juta.

”Selain itu, sebanyak RM100 juta disediakan bagi menyelenggara lampu jalan termasuk menggantikan dari jenis lama kepada jenis LED yang dapat menjimatkan elektrik sehingga 60 peratus manakala RM50 juta untuk tujuan sama di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara,” katanya.

Kerajaan turut mengumumkan peruntukan RM50 juta untuk membaikpulih kawasan kerap berlaku kemalangan seperti menaik taraf lampu isyarat sedia ada kepada lampu isyarat pintar di jalan Persekutuan bagi  mengurangkan kesesakan aliran trafik.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini