comscore
Tumpuan :
Nasional

Langgar maut pelajar: Pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan pembelaan sewajarnya – Peguam

Oleh: Amirulhakim Lokman

KUALA LUMPUR : Keputusan Jabatan Peguam Negara untuk mengenakan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan terhadap pegawai kanan polis yang terbabit kes langgar sehingga menyebabkan kematian pelajar berusia 17 tahun di Ipoh Perak Jumaat lalu, adalah satu pembelaan yang sewajarnya.

Peguam mewakili keluarga dari Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak HWAM, Datuk Wan Azmir Wan Majid berkata, pendakwaan atas tuduhan membunuh adalah yang diharapkan keluarga bagi menuntut pembelaan yang adil atas kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie.

“Sebenarnya arahan saya petang tadi adalah untuk memastikan pertuduhan yang adil dikenakan atas pelaku agar kalau pertuduhan di bawah seksyen 302 atas siasatan yang dibuat itu adalah yang terbaik.

“Saya rasa itu yang keluarga mahukan, mereka mahukan satu pertuduhan yang setimpal dengan apa yang telah terjadi” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Tambahnya, beliau yang juga bertindak sebagai peguam pemerhati dalam kes itu nanti, akan memastikan pihaknya menyerahkan bahan bukti secukupnya kepada pihak pendakwaan di mahkamah kelak.

“Pelan seterusnya adalah untuk menjadi peguam pemerhati dalam kes tersebut, untuk memastikan bahan bukti yang secukupnya telah dihadapkan kepada pihak pendakwaan untuk kes dapat didakwa dengan terbaik.” katanya lagi.

Terdahulu, Pejabat Peguam Negara melalui kenyataan memaklumkan pihaknya mendapati keterangan mencukupi untuk mendakwa suspek yang berusia 44 tahun itu atas kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek akan dituduh secara tentatif di Mahkamah Majistret Ipoh esok, sebelum mahkamah sama menetapkan tarikh untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan.

Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari kelmarin, mangsa yang menunggang motosikal maut selepas dilanggar kereta ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Chemor dari SMK Jati.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini