comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes bunuh Zayn Rayyan: Blok R terus jadi tumpuan pencarian petunjuk baharu

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

PETALING JAYA: Sepasukan polis dari Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor dilihat memasuki Blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai, pada jam 3.25 petang.

Terdahulu, pasukan itu tiba di perkarangan apartmen sekitar jam 3 petang bagi meneruskan pencarian petunjuk baharu bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6 Disember lalu.

Mengulas perkembangan terkini, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan tiada sebarang petunjuk positif yang ditemukan dalam operasi yang memasuki hari ke-11 hari ini.

Katanya lagi, operasi pencarian bukti masih lagi diteruskan di sekitar lokasi dan setakat ini tiada mana-mana individu yang boleh dikaitkan dengan pembunuhan kanak-kanak malang itu.

“Tiada perkembangan, maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya ringkas ketika dihubungi.

Sebelum itu, sepasukan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dilihat tiba di lokasi kejadian sekitar jam 9.30 pagi dipercayai bagi mengesan bukti baharu dalam menjejaki pembunuh sebelum ditangguhkan pada jam 12.30 tengah hari.

Tumpuan siasatan masih terarah pada Blok R yang menjadi lokasi terakhir Zayn Rayyan dilihat sebelum dilaporkan hilang.

Semalam, Datuk Hussein berkata, proses mengesan bukti masih giat dijalankan khususnya di kawasan blok kediaman mangsa.

172 individu sudah dirakam keterangan termasuk ibu bapa, saksi, jiran dan penduduk sekitar.

Kematian Zayn Rayyan diklasifikasi sebagai kes bunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

Dalam kejadian 6 Disember lalu, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di kawasan takungan air kira-kira 200 meter dari kediamannya, jam 10 malam.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini