comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Belanjawan 2024: Kerajaan bela insan seni dan martabatkan industri hiburan

 

KUALA LUMPUR: Bakat-bakat kreatif tempatan akan terus disokong bagi menggalakkan penghasilan lebih banyak karya seni di Malaysia.

Untuk itu kerajaan menyediakan 160 juta ringgit untuk melaksanakan pelbagai inisiatif untuk manfaat penggiat seni.

Antaranya,  60 juta ringgit di bawah Dana Kandungan Digital untuk mempromosi karya tempatan dan menyokong kandungan berteraskan nilai kenegaraan.

“Kerajaan juga memperuntukkan  90 juta ringgit di bawah inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI) untuk terus menggalakkan penghasilan filem bertaraf antarabangsa dan  10 juta ringgit bagi menyediakan Skim Dana Padanan MyCreative dalam menyokong anak-anak seni dalam penghasilan projek kreatif, ” kata Perdana Menteri.

Susulan keputusan Negeri Selangor yang menurunkan kadar duti hiburan, Kerajaan turut bercadang untuk menurunkan kadar duti hiburan bagi Wilayah Persekutuan daripada 25 peratus kepada kadar baharu.

Kadar baharu itu ialah, pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis tempatan, pengurangan kepada 5 peratus duti hiburan bagi taman tema, pusat rekreasi keluarga, pusat permainan indoor dan simulator; dan pengurangan kepada 10 peratus duti hiburan bagi persembahan pentas oleh artis antarabangsa dan acara hiburan lain seperti tayangan filem serta acara sukan dan permainan.

“Kesempatan ini juga saya ambil untuk menyeru kerajaan  negeri supaya dapat mempertimbangkan pengurangan duti hiburan yang dilihat mampu menyokong perkembangan bakat-bakat kreatif tempatan di samping merancakkan lagi aktiviti
pelancongan negara.” ujar Perdana Menteri.

Perdana Menteri juga juga  telah meneliti input yang diterima semasa Jelajah Belanjawan MADANI di negeri Johor terkait pendekatan Kerajaan dalam menggalakkan kemasukan produksi filem asing ke Malaysia dan seterusnya menyaingi tawaran insentif negara lain.

Kerajaan bercadang untuk menetapkan kadar cukai pendapatan khas antara 0 hingga 10 peratus kepada syarikat produksi filem, pelakon filem asing dan kru filem yang menjalankan penggambaran filem di Malaysia.

Kata Perdana Menteri, sebagai pengiktirafan dan penghargaan tahap tertinggi kepada tokoh-tokoh dan penggiat seni, budaya dan warisan, kerajaan akan kembali menganjurkan Anugerah Seni Negara secara tahunan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini