comscore
Tumpuan :
Nasional

Raja Dadah tidak akan diekstradisi ke Malaysia – Ayob Khan

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay ketika sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Usahasama PDRM bersama Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM di Bukit Aman.

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

KUALA LUMPUR: Raja Dadah warga Malaysia yang akan dikenakan tuduhan mengedar dadah di Thailand tidak akan di ekstradisi ke Malaysia. Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata Polis Diraja Malaysia, PDRM tidak bercadang untuk membawa pulang ‘raja dadah’ itu sebaliknya menyerahkan sepenuhnya proses siasatan kepada pihak berkuasa Thailand.

“Setakat ini kita tidak ada rancangan untuk bawa dia balik. Biarlah dia menghadapi pertuduhan di Thailand atas aktiviti dadah. Jika polis Thailand ada cukup bukti untuk mengambil tindakan ke atas beliau, biar pihak polis Thailand teruskan,” katanya.

Ayob Khan ditemui ketika menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Usahasama PDRM bersama Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM di Bukit Aman.

Menurut beliau, suspek berasal dari Perak, berusia 41 tahun dan berkahwin dengan seorang wanita warga Thailand.

Mengikut laporan media, suspek ditahan di Laos pada 29 Disember lalu menerusi operasi bersama pihak berkuasa Thailand dan Laos.

Pihak berkuasa Thailand, kemudian merampas aset mewah lelaki itu termasuk sebidang tanah dengan bangunan, dua kondominium, tiga kapal layar, dua kereta, tiga motosikal, senjata api, wang tunai dan barang berharga lain.

Rampasan dilakukan di sekitar Bangkok, Trat, Chiang Rai dan Chon Buri. Jumlah aset yang dirampas dianggarkan 85 juta baht atau kira-kira RM11.4 juta.

Dalam pada itu, Ayob Khan turut memaklumkan PDRM masih meneruskan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin meskipun tiada perkembangan baharu setakat ini.

Jelas Ayob Khan lagi, pihaknya tidak akan menghentikan siasatan walaupun tiada perkembangan.

“Polis masih menjalankan siasatan, kita tidak pernah menghentikan (proses siasatan). Jika ada perkembangan baharu yang boleh dikongsikan, kita akan kongsi. Setakat ini tiada perkembangan baharu,” katanya.

Kanak-kanak berusia enam tahun itu dilaporkan hilang pada 5 Disember tahun lalu di Damansara Damai, Selangor sebelum ditemui dalam keadaan tidak bernyawa berhampiran aliran anak sungai kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokannya.

Bedah siasat kemudian mendapati terdapat kesan kecederaan pada leher serta badan mangsa dan kanak-kanak itu dipercayai dibunuh.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini