comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes Zayn Rayyan: Lebih 200 keterangan telah dirakam

Anggota Forensik melakukan pemeriksaan di lokasi penemuan Allahyarham adik Zayn Rayyan Abdul Matiin ditemui di Apartment Idaman, Damansara Damai, 9 Disember lalu. – FOTO: NSTP

KLANG: Lebih 200 keterangan sudah dirakam polis berhubung kes bunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, bagaimanapun, ketika ini belum ada perkembangan terbaharu siasatan kes kanak-kanak itu.

“Kita masih menilai bahan bukti yang dikumpul. Macam saya cakap tempoh hari, kita tidak pernah berhenti menyiasat dan (anggota) masih di lapangan berjumpa dengan masyarakat setempat, jika ada sebarang maklumat tertinggal, walau sekecil mana pun.

“Lebih 200 orang kita sudah panggil (untuk dirakam keterangan). Daripada awal memang kita ‘scan’ kedua-dua blok (Apartmen Idaman) berkenaan, jadi memang ramai,” katanya pada sidang media selepas sesi libat urus di sini, hari ini.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, seramai 285 individu termasuk warga asing ditahan menerusi Op Pintas Mega bagi menangani jenayah pemerdagangan orang di seluruh negara.

Katanya, kejayaan itu hasil 42 serbuan dengan kerjasama 14 kontinjen polis seluruh negara dan Jabatan Imigresen, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Alam Sekitar, Tenaga Nasional Berhad dan Air Selangor.

“Seramai 64 mangsa diselamatkan dengan empat daripadanya orang kurang upaya (OKU), mengikut Seksyen 44 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM 2007).

“Secara pecahannya, 22 wanita, lelaki (12), kanak-kanak perempuan (20) dan 10 kanak-kanak lelaki yang terdiri pelbagai warga termasuk Filipina, Indonesia, Bangladesh, Kemboja dan Myanmar,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12 dan 14 Akta ATIPSOM 2007 selain Seksyen 55B, Seksyen 15 (1) (C) dan Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/1963.

“Kita memandang serius aktiviti jenayah pemerdagangan orang dan tindakan tegas akan dilaksanakan terhadap mana-mana individu dan kumpulan jenayah yang melakukan jenayah ini,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini