comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2024: Harga lantai belian padi dinaikkan kepada RM1,300 per metrik tan 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR : Kerajaan memutuskan untuk meningkatkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per metrik tan demi membantu pendapatan pesawah.

Harga lantai pada RM1,200 ditetapkan sejak 2014.

”Saya mendengar rungutan pesawah padi apabila harga belian oleh pengilang telah diturunkan kepada tahap minimum RM1,200 per metrik tan sedangkan sebelum ini harga belian oleh pengilang jauh lebih tinggi,” ujar Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Belanjawan MADANI Kedua menyediakan RM2.6 bilion bagi menyalurkan pelbagai bentuk subsidi dan insentif kepada pesawah dan nelayan.

Peruntukan itu katanya meningkat RM600 juta ketimbang tahun ini selaras keputusan kerajaan menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi daripada RM360 kepada RM500 per metrik tan.

Kerajaan juga jelasnya telah memulakan usaha rintis penanaman padi lima musim dalam tempoh 2 tahun di beberapa kawasan jelapang antaranya di Bota Kiri, Perak; Kangar, Perlis dan Kota Sarang Semut, Kedah.

Ini selari dengan usaha untuk menaik taraf infrastruktur pengairan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Perlis dan Kedah bagi meningkatkan pengeluaran padi dengan pelaburan bernilai RM3 bilion.

Kerajaan juga bersetuju untuk meningkatkan peruntukan subsidi padi bukit atau padi huma daripada RM40 juta  kepada RM50 juta
dan ia antara lain akan dapat meluaskan kawasan penanaman padi bukit daripada 43,000 hektar.

Turut diumumkan manfaat nelayan yang menyaksikan kerajaan terus mengekalkan subsidi diesel pada harga terendah iaitu RM1.65 sen seliter kepada nelayan kelas tertentu dengan kuota 840 juta liter setahun.

”Nelayan juga diberikan elaun sara hidup sehingga RM300 ringgit sebulan dan Insentif Hasil Tangkapan Nelayan sehingga RM1,000 sebulan,” katanya.

Kerajaan juga menyediakan RM10 juta untuk tujuan membina baharu dan baik pulih rumah nelayan yang uzur.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini