comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2024: RM930 juta naik taraf sekolah daif

Foto hiasan

KUCHING: Sejumlah RM930 juta diperuntuk bagi menaik taraf bangunan dan prasarana 450 sekolah daif, termasuk 185 projek di Sarawak dan 155 di Sabah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ini sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM58.7 bilion untuk pendidikan tahun hadapan yang meningkat berbanding RM55.2 bilion tahun ini.

“Tahun hadapan RM1.9 bilion disediakan untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah di seluruh negara.

“Ini merangkumi RM930 juta bagi kerja menaik taraf bangunan dan prasarana daif di 450 buah sekolah merangkumi 185 projek di Sarawak dan 155 di Sabah,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, RM1 bilion lagi untuk penyelenggaraan di semua jenis sekolah, iaitu sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah Tamil dan Cina termasuk sekolah pendidikan khas dengan memberi tumpuan kepada keperluan pelajar autisme.

Menurutnya, sebanyak 26 sekolah baharu pula akan mula dibina dengan kos keseluruhan RM2.5 bilion.

“Antaranya termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laya-laya, Tuaran Sabah; SMK Baie, Bintulu, Sarawak; SMK Seri Melati, Kuantan, Pahang; SMK Bandar Universiti, Bandar Seri Iskandar, Perak: dan SMK Binjai, Kota Bharu, Kelantan,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata, 26 prasekolah baharu di bawah Kementerian Pendidikan akan dibina melibatkan kos RM82 juta.

“Ini termasuklah pembinaan bangunan prasekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Kadir Gedong, Simunjan, Sarawak; SK Bunut Rendang, Kuantan, Pahang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chabau, Melaka,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini