comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2024: Pengecualian cukai kepada wanita kembali bekerja dilanjut sehingga 2027

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan melanjutkan pengecualian cukai bagi wanita yang kembali bekerja sehingga 31 Disember 2027.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia sebagai salah satu usaha menggalakkan golongan wanita agar kembali bekerja.

“Kerajaan berharap penyertaan wanita dalam tenaga buruh ditingkatkan kepada 60 peratus.

“Bagi terus menggalakkan wanita kembali bekerja, galakan cukai bagi wanita yang kembali bekerja dilanjutkan,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2024, hari ini.

Selain itu, kerajaan akan meningkatkan had pengecualian cukai pendapatan ke atas elaun penjagaan anak oleh pekerja atau dibayar terus oleh majikan kepada pusat jagaan kanak-kanak daripada RM2,400 kepada RM3,000.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Masyarakat atau KEMAS akan menerima peruntukkan sebanyak RM586 juta, tahun hadapan.

“Sebanyak 10 TABIKA dan TASKA baharu dengan kos RM31 juta akan dibina. Antaranya, di Kampung Paya Berenjut, Kemaman, Terengganu; Felda Jelai 1, Tampin, Negeri Sembilan dan Taman Kota Masai, Johor Bahru, Johor.

“Sejumlah RM20 juta turut disediakan bagi menaik taraf premis Pendidikan Awal Kanak-kanak KEMAS.

“Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM82 juta di bawah Kementerian Pendidikan bagi membina 26 pra sekolah baharu,” katanya.

Ini termasuklah pembinaan bangunan prasekolah di Sekolah Kebangsaan Abang Kadir Gedong, Simunjan, Sarawak; Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang, Kuantan, Pahang; dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chabau, Melaka.

“Penghayatan pendidikan Islam dan ilmu al-Quran akan terus diperkasakan sejak awal usia.

“Kerajaan akan melaksanakan Program Pra Tahfiz KEMAS dengan peruntukan RM20 juta ringgit dengan sasaran untuk melahirkan 100 ribu hufaz cilik menjelang 2026,” katanya.

Sementara itu, kerajaan turut memperuntukkan RM10 juta bagi menyediakan pusat penempatan sementara untuk kanak-kanak dan tidak lagi menempatkan mereka di pusat tahanan Imigresen.“

Pusat tahanan Imigresen bukan tempat untuk kanak-kanak. Kita tidak perlu rujuk kepada konvensyen antarabangsa supaya kita sedar perihal itu.

“Cukuplah dengan secebis ihsan di sudut hati. Kerajaan memperintis program Baitul Mahabbah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi menyediakan penempatan sementara buat kanak-kanak.

“Program ini akan dilaksanakan tahun depan dan diperluaskan ke tiga lagi pusat penempatan di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini