comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2024: Kerajaan tambah baik program perlindungan sosial

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menambah baik program perlindungan sosial bagi memastikan golongan tumpuan terus mendapat perlindungan sewajarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar tanggungan kerajaan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) akan ditingkatkan kepada 90 peratus dengan peruntukan RM100 juta.

Beliau turut menyeru syarikat pengendali untuk menanggung baki 10 peratus caruman bagi pihak pekerja gig dan yakin mereka amat prihatin dengan kebajikan pekerja mereka.

Had caruman padanan kerajaan di bawah program i-Saraan KWSP ditingkatkan kepada RM500 setahun terhad kepada RM5,000 seumur hidup, manakala had caruman padanan kerajaan di bawah program i-Suri KWSP ditingkatkan kepada RM300 setahun, terhad kepada RM3,000 seumur hidup.

Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah akan diteruskan dengan peruntukan RM50 juta bagi memanfaatkan lebih 400 ribu suri rumah wanita yang berdaftar di bawah eKasih.

Atas dasar kasih dan sayang, program i-Sayang KWSP akan diperluas untuk turut membolehkan isteri memindahkan 2 peratus caruman KWSP syer pekerja kepada suami.

Kerajaan juga, menurut Perdana Menteri akan meningkatkan siling gaji bulanan bagi caruman PERKESO daripada RM5,000 kepada RM6,000. Peningkatan ini akan meningkatkan faedah tunai pada kadar 20.2 peratus untuk manfaat 1.45 juta pekerja dan orang tanggungan mereka.

Akaun ahli KWSP akan distrukturkan semula untuk memperkasa simpanan persaraan. Akaun Fleksibel KWSP akan diperkenalkan sebagai akaun baharu yang boleh diakses ahli pada bila-bila masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini