comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2024: Tahun Melawat Malaysia ditetapkan semula pada 2026

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Tahun Melawat Malaysia ditetapkan semula pada 2026 dengan sasaran ketibaan 26.1 juta pelancong asing dan anggaran perbelanjaan domestik RM97.6 bilion.

Bagi merealisasikan sasaran itu, kerajaan menyediakan RM350 juta bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan supaya Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia.

“Antaranya merangkumi penganjuran Kempen Melawat Malaysia 2026, kerjasama dengan industri dalam aktiviti promosi dan penganjuran acara pelancongan dalam dan luar negara; bantuan kepada lebih 200 penggiat kebudayaan dalam menganjurkan aktiviti seni dan budaya; geran padanan penerbangan carter dalam meningkatkan kemudahsampaian penerbangan antarabangsa ke Malaysia; dan dana kepada Pusat Pelancongan Islam (ITC) untuk membangunkan industri pelancongan mesra Muslim di Malaysia,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, Anwar berkata, bagi memperkasakan sektor pelancongan, kawasan, bangunan dan tapak warisan tumpuan pelancong akan terus dipelihara bagi mengekalkan keindahan, keselamatan dan kebersihan.

Katanya, sejumlah RM20 juta disediakan untuk manfaat kerajaan negeri bagi menyelenggara dan memulihara lokasi tarikan pelancongan seperti Tasik Timah Tasoh di Perlis, Kenong Rimba Park di Pahang, dan Pantai Teluk Kemang di Negeri Sembilan.

“Sejumlah RM80 juta juga disediakan bagi memelihara dan memulihara bangunan dan tapak warisan yang berpotensi diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) antaranya di Gua Niah, Sarawak; Lembah Bujang, Kedah dan Royal Belum, Perak.

“Sebanyak RM20 juta juga disediakan kepada Think City untuk mengangkat dan memulihara nilai Kuala Lumpur sebagai bandar raya kreatif dan budaya,” katanya.

Menyedari sumbangan besar sektor pelancongan dan pembuatan kepada pembangunan negara, kerajaan komited untuk memperkenalkan inisiatif baharu di bawah Pelan Liberalisasi Visa Malaysia membabitkan beberapa kemudahan.

“Pertama, memudah cara kelulusan Pas Penggajian bagi pelabur strategik dalam sektor utama; kedua, memperkenalkan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang untuk pelajar antarabangsa yang telah tamat pengajian bagi menampung keperluan tenaga mahir industri; dan ketiga, menambah baik kemudahan Visa-On-Arrival, pas lawatan sosial dan tawaran Multiple Entry Visa bagi menggalakkan kemasukan pelancong dan pelabur terutamanya dari negara India dan China.

“Kerajaan juga telah bersetuju untuk melonggarkan syarat sedia ada bagi permohonan inisiatif Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi meningkatkan kedatangan pelancong dan pelabur asing ke Malaysia. Penambahbaikan MM2H dijangka dapat meningkatkan aktiviti pelaburan dalam pasaran kewangan Malaysia dan industri hartanah negara,” katanya lagi.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini