comscore
Tumpuan :
Nasional

Belanjawan 2024: Lebih RM38 bilion diperuntuk untuk pelihara keselamatan negara

Benteng sempadan dan perairan negara perlu dipertahankan bagi menjamin keamanan. Keselamatan dalam negara perlu dipelihara bagi mengekalkan keharmonian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi tahun hadapan, Kementerian Pertahanan diperuntukkan RM19.7 bilion, meningkat RM2 bilion berbanding tahun ini.

Sementara Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula diperuntukkan RM19 bilion, juga bertambah RM500 juta berbanding tahun ini.

Bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara, Kerajaan akan memulakan proses perolehan aset-aset baharu.

Ini termasuklah perolehan 12 helikopter baharu Tentera Udara Diraja Malaysia; perolehan aset-aset utama Tentera Darat Malaysia; kerja-kerja memasang pulih 2 aset kapal selam selain meneruskan perolehan tiga buah Littoral Mission Ship (LMS) Tentera Laut Diraja Malaysia; serta perolehan bagi menggantikan aset lama dengan 7 buah pesawat kapal terbang twin engine dan 5 buah helikopter ringan PDRM.

Selain itu, Malaysia terus mengulangi komitmen penyelesaian secara aman menerusi Deklarasi Kod Tatalaku dalam soal pertikaian Laut China Selatan.

Namun, ini tidaklah bermakna kita boleh menggadaikan kedaulatan negara.

Oleh itu, keselamatan sempadan dan perairan negara akan terus dipertahan di samping mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan kawalan di pintu-pintu masuk antarabangsa.

Bagi tahun hadapan, kerajaan akan menambah aset-aset perairan antaranya perolehan 45 unit bot pelbagai jenis Tentera Darat serta 9 buah kapal ronda generasi baharu serta bot pemintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Kerajaan juga akan membina tujuh pos imbangan antaranya di Melikin dan Pa’ Daleh, Sarawak, pos keselamatan di Sungai Desa Aji Kuning, Pulau Sebatik, Sabah serta kerja awalan pembinaan dua ICQS di Nabawan dan Kalabakan, Sabah.

Sebuah agensi tunggal sempadan negara atau single border agency (SBA) akan diwujudkan.

“RM20 juta turut disediakan untuk menyelenggara, membaiki serta memperoleh harta modal di pintu-pintu masuk antarabangsa seluruh negara.” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat di sini hari ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini